24 November 2009

Pelajar Bermasalah Lebih Mengingati Guru


          BETULKAH pelajar yang selalu melanggar disiplin dan diambil tindakan lebih mengingati guru-gurunya berbanding pelajar yang cemerlang dalam akademik? Saya tidak mahu menyatakan ya kerana tiada perkaitan signifikan antara pelajar bermasalah dan hubungannya dengan guru. Tetapi berdasarkan pengamatan saya dan pandangan umum daripada rakan guru, itulah yang berlaku.
          Apabila pelajar ini bertemu dengan guru mereka tidak cuba mengelak, malahan merekalah yang lebih dahulu menyapa guru mereka walaupun mereka pernah didenda agak teruk oleh guru berkenaan. Apatah lagi jika mereka ini sudah berjaya memegang jawatan penting atau bergaji lumayan. Ini berbeza keadaannya dengan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam akademik dan tidak pernah melanggar disiplin. Mereka inilah yang lebih malu dan cuba menghindari guru mereka. Mengapa? Saya tidak pasti jawapan anda, tetapi bagi saya inilah kesilapan para guru yang mungkin tidak disedari. Hubungan kita dengan dua kelompok pelajar tadi serta berapa berapa banyak masa kita habiskan dengan mereka memang berbeza.
       Walaupun para guru tidak menyenangi pelajar-pelajar yang selalu melanggar disiplin, namun banyak masa dihabiskan untuk mereka. Para guru kerap berhubung terus dengan mereka, bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah mereka dan kerap menasihati dan mendenda mereka.Malahan hubungan guru dengan keluarga pelajar sebegini lebih rapat atas alasan disiplin. Bagaimana dengan pelajar-pelajar yang baik yang merupakan majoriti di sekolah.
       Berapa lamakah kita habiskan masa untuk mereka, berinteraski dengan mereka dan mengambil tahu tentang diri dan masalah mereka. Kita berpuas hati kerana mereka sudah baik dan cemerlang dalam akademik, lalu kita membiarkan mereka. Sebenarnya pelajar yang cemerlang selalu diberikan kepercayaan untuk mengurus diri sendiri. Lalu mereka ini dibiarkan tanpa hubungan yang lebih rapat dan berterusan. Selain interaksi dalam kelas sewaktu P&P, bilakah lagi masa kualiti yang guru luangkan bersama mereka?
 
Posted in September 19th, 2007

No comments:

Post a Comment